Dec 7, 2011

Siswa & Nikmat Ilmu


Sejak hari pertama kita dilahirkan sehinggalah ke saat ini, begitu banyak nikmat yang Allah kurniakan kepada kita yang tidak terhitung nilainya. Bayangkan saja nikmat udara yang diberikan kepada umat manusia , jika ingin dihitung kadar penggunaannya, sudah tentu kita tidak akan mampu untuk membayarnya.

Firman Allah S.W.T. dalam surah An-Nahl ayat 18 yang bermaksud :

“Sekiranya kamu menghitung nikmat AllahS.W.T., nescaya kamu tidak akan mampu menghitungnya”

Nikmat yang begitu asas ini terus saja dikurniakan kepada manusia tanpa mengira samada manusia itu mensyukurinya ataupun tidak.  Begitu juga  dengan nikmat-nikmat yang lain. Lihat saja pada diri kita sendiri, seribu satu nikmat telah Allah berikan kepada kita yang mana mungkin tidak kita sedari. Mata, telinga, hidung, mulut, kaki dan sebagainya merupakan nikmat yang amat berharga buat insan bernama manusia. Dan mengaku atau tidak, sebenarnya nikmat-nikmat ini dikurniakan kepada kita secara berterusan tidak kira samada kita mensyukurinya ataupun tidak, dan kebanyakan nikmat ini  tidak kita sedari kepentingannya, sehinggalah kita kehilangannya.

Di kalangan manusia itu pula, Allah swt telah memilih segolongan manusia untuk dikurniakan pula nikmat yang sangat besar, iaitu nikmat Iman dan Islam. Dengan kedua nikmat inilah yang mampu mengeluarkan manusia dari kegelapan kepada cahaya, dari kesesatan kepada kebenaran, dan membawa manusia untuk kembali mengenal Pencipta yang sebenar iaitu Allah swt.  Sesungguhnya dengan nikmat inilah yang akan dapat menyelamatkan kehidupan manusia di  dunia dan akhirat.

Selaku insan yang terpilih untuk merasai nikmat ini, seharusnya kita mensyukurinya dan berusaha menjaganya agar kita sentiasa berada dalam golongan orang yang sentiasa mendapat rahmat Allah s.w.t..

" kejar cita-cita mu hingga ke hujung dunia"
Sebagai mahasiswa/wi muslim, secara sedar atau tidak, sebenarnya kita juga telah dikurniakan dengan satu lagi nikmat cukup berharga, iaitu apabila kita telah dipilih untuk berada di jalan ilmu ini. Inilah merupakan salah satu jalan yang mana telah dijanjikan bagi orang yang melaluinya akan dipermudahkan jalan menuju ke syurga. Sabda Nabi S.A.W. yang bermaksud :
               
“ Sesiapa yang melalui satu jalan untuk mencari ilmu, Allah S.W.T. akan menunjukkan baginya satu jalan daripada jalan-jalan menuju ke syurga”.

Ilmu pengetahuan merupakan suatu yang sangat penting dalam kehidupan kita kerana ianya merupakan wasilah utama untuk mencapai kejayaan di dunia dan akhirat. Nabi S.A.W. telah menerangkan bahawa sesiapa yang ingin mendapat kejayaan di dunia maka hendaklah dia mencapainya dengan ilmu pengetahuan, begitu juga bagi yang inginkan kejayaan di akhirat maka hendaklah dengan ilmu pengetahuan, dan sesiapa yang mahukan kejayaan di dunia dan akhirat maka hendaklah dengan ilmu pengetahuan.

Kita telah ditinggalkan dengan begitu banyak ayat-ayat Al-Quran dan hadis-hadis Nabi S.A.W. yang menyebut  tentang kelebihan orang berilmu. Antaranya ialah firman Allah S.W.T. dalam surah Al-Mujadilah, ayat 11 :

{يرفع الله الذين ءامنوا منكم والذين أوتوا العلم درجات}
Maksudnya : “ Allah S.W.T. meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat.”


Firman Allah S.W.T. dalam surah Az-Zumar ayat 9 :

{قل هل يستوي الذين يعلمون والذين لا يعلمون}
Maksudnya : “ Katakanlah (wahai Muhammad) : Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui.”

Sabda Nabi S.A.W. pula yang bermaksud :

“ Seorang alim(orang berilmu) lebih ditakuti oleh syaitan daripada seribu orang abid”

Begitulah sebahagian ayat-ayat Al-Quran dan hadis Nabi S.A.W. yang menerangkan tentang kelebihan yang diberikan kepada orang-orang berilmu.

Namun, persoalan yang ingin dilontarkan di sini ialah, sejauh mana kita sebagai mahasiswa/wi yang telah dikurniakan nikmat berada di jalan ilmu ini mensyukuri nikmat tersebut?

"ilmu pelita hidup"

Seharusnya nikmat yang telah diberikan ini tidak disia-siakan, dan ianya haruslah dimanfaatkan sebaiknya, kerana antara salah satu cara untuk kita mensyukuri nikmat Allah S.W.t. itu adalah dengan menggunakan nikmat tersebut dengan sebaiknya. Oleh itu, seharusnya kita selaku mahasiswa/wi  menggunakan peluang ini untuk menimba ilmu sebanyak yang mungkin dengan bersungguh-sungguh. Gunakanlah peluang yang terbentang sekarang ini sebelum ianya berlalu pergi dan mula bertapak  seribu sesalan di hati kita.

Bayangkanlah, betapa ramainya orang yang merindui medan ilmu ini, namun belum diberikan peluang untuk menemuinya. Maka adalah suatu yang tidak sepatutnya tatkala kita yang telah diberikan peluang ini hanya mensia-siakannya. Allah S.W.T. mengancam dengan azab yang pedih bagi mereka yang tidak mensyukuri nikmatNya dengan firman Allah dalam surah Ibrahim ayat 7 :

{وإذ تأذن ربكم لئن شكرتم لأزيدنكم ولئن كفرتم إن عذابي لشديد}
Maksudnya : “ dan ingatlah tatkala Tuhanmu memaklumkan : Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti kami akan menambah(nikmat) kepada kamu, dan jika kamu mengingkari(nikmat), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.”

Satu ketika kelak, nikmat masa yang telah diberikan untuk menuntut ilmu ini pasti akan dipersoalkan di hadapan Allah S.W.T. kerana setiap nikmat yang dikurniakan itu pasti akan diperhitungkan semula. Adakah kita telah mensyukurinya ataupun tidak?  Nabi S.A.W. bersabda yang bermaksud :

  Tidak akan berganjak kedua kaki anak Adam (dari tempat penghisaban) sehinggalah dia ditanya tentang empat perkara.Tentang umurnya, kemana telah dia habiskan, tentang masa mudanya pada apa telah dia kerjakan, tentang hartanya dari mana dia memperolehinya dan pada apa dia membelanjakannya, dan tentang ilmunya, apa yang telah dia amalkan. “

Dalam hadis ini, Nabi S.A.W. menjelaskan tentang empat perkara  yang akan dipersoalkan pada hari akhirat nanti. Apa yang cuba dijelaskan disini adalah, dua perkara yang pertama yang akan dipersoalkan adalah mengenai umur dan masa muda, dan kedua-duanya adalah berkaitan dengan masa. Dan nikmat masa muda yang ada pada kita sekarang ini serta peluang berada di jalan ilmu ini sudah pasti akan dihitung, dan adakah kita sanggup untuk menjawabnya dengan mengatakan kita telah mensia-siakannya??

Oleh itu, kita selaku mahasiswa/wi yang telah dikurniakan dengan nikmat yang cukup besar ini seharusnya menghargai dan mensyukurinya dengan sebaik mungkin. Jadikan fatrah imtihan ini sebagai batu loncatan untuk kita mula melakukan perubahan dalam kehidupan kita selaku siswa –siswi kearah yang lebih baik dari sebelum ini. Keadaan diri kita tidak akan berubah dengan sendirinya melainkan dengan usaha dari diri kita juga.

Ayuh kita renungi  kata-kata daripada beberapa orang pakar motivasi berikut :

“ Penambahbaikan memerlukan prasyarat perubahan” – Prof. Madya Hj. Md. Izuddin Hj. Ali.

‘’ Jika anda hendak mengubah tindakan anda, anda perlu mengubah cara anda berfikir” - Joel Barker.

‘’ Janganlah menunggu saat akhir untuk mencipta kejayaan” – Hukama.

Oleh itu, marilah sama-sama kita melakukan perubahan dalam kehidupan kita kearah yang lebih baik, agar satu hari kelak kita akan memperolehi kejayaan yang cemerlang di dunia dan akhirat. Usahlah kita mengharapkan sesuatu hasil yang berbeza sekiranya usaha yang kita lakukan itu tetap sama seperti sebelum-sebelum ini. Dan ingatlah, jika lalang yang kita tanam, janganlah pula  mengharapkan ianya akan tumbuh sebagai padi.

No comments:

Post a Comment