Jan 20, 2013

Rindu Kekasih


Bulan Rabi'ul Awwal, satu bulan yang telah mencatatkan satu peristiwa besar dalam sejarah ketamadunan umat manusia. Bulan yang dimuliakan dengan satu peristiwa agung. Sebuah peristiwa kelahiran yang diiringi dengan seribu satu keajaiban, menjadi titik permulaan nyalaan cahaya kebenaran, lantas memadamkan kegelapan jahiliah. Itulah peristiwa kelahiran Kekasih Agung, Nabi junjungan, Nabi Muhammad S.A.W.. Seorang nabi yang menjadi penutup segala nabi. Seorang rasul yang menjadi rahmat kepada sekalian alam. Seorang murabbi agung, memimpin manusia kembali kepada Sang Pencipta yang Haqq, menyingkap kebenaran setelah sekian lama diselimuti nista kekufuran.

Katakanlah ( wahai Muhammad ) : "Jika kamu ( benar-benar ) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah akan mencintaimu dan mengampun dosa-dosa kamu" - Ali 'Imran : ayat 31.

Sempena bulan yang cukup istimewa ini, saya ingin membawakan sebuah peristiwa yang sangat menyentuh hati. Peristiwa yang sangat ringkas namun mempunyai kesan yang sangat besar di dalam hati setiap orang beriman. Ianya terjadi lebih 1400 tahun yang lalu, bilamana suatu ketika baginda S.A.W. sedang duduk bersama-sama para sahabat baginda. Baginda yang tiba-tiba mendiamkan diri seperti ada sesuatu yang sedang bermain dalam fikiran, menimbulkan tanda tanya di kalangan para sahabat yang ada bersama-sama ketika itu. Setelah beberapa ketika, baginda pun memulakan bicara..

"Wahai sahabatku, tahukah kalian siapakah makhluk yang memiliki iman yang menakjubkan?"

Para sahabat yang ada pada ketika itu menjawab : "Para malaikat ya rasulallah".

Baginda S.A.W. tersenyum seraya berkata "Bagaimana para malaikat itu tidak beriman, sedangkan mereka itu sentiasa hampir kepada Allah s.w.t.. Akan tetapi bukan mereka yang aku maksudkan."

Para sahabat terdiam dan berfikir, kemudian mencuba semula untuk menjawab "Para nabi, ya rasulallah."

Baginda S.A.W. menjawab "Bagaimana para nabi itu tidak beriman, sedangkan wahyu itu diturunkan kepada mereka."

"Kalau begitu, mungkinkah kami ya rasulallah?"

Baginda S.A.W. menjawab "Bagaimana kalian tidak beriman, sedangkan aku berada diantara kalian semua."

Mendengar jawapan baginda S.A.W. para sahabat terdiam seketika dan kehairanan, lantas menjawab "Jikalau begitu, hanya Allah dan Rasulnya yang mengetahui."

Suasana menjadi sepi seketika, penuh keheningan. Selepas beberapa ketika, Rasulullah S.A.W. berbicara : "Ketahuilah wahai para sahabatku, mereka yang memiliki iman yang ajaib itu adalah mereka yang datang selepas kalian, mereka beriman kepada ku walaupun mereka belum pernah melihatku, mereka membaca dan mengamalkan isi Al-Quran, dan mereka sangat mencintaiku sedangkan mereka belum pernah bertemu denganku."

Baginda S.A.W. diam seketika, tunduk, dan dalam penuh kesayuan menyambung bicara "Saksikanlah wahai sahabatku, bahawa aku sangat merindui mereka."

Begitulah kerinduan dan kecintaan seorang insan yang paling mulia terhadap umatnya. Seorang nabi yang tidak pernah lelah dalam memikirkan umatnya. Hatta pada detik-detik baginda dijemput untuk kembali ke pangkuan Ilahi, masih risau memikirkan akan umatnya.

"Umatku..Umatku.."

اللهم صل وسلم وبارك على سيدنا ومولانا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين

Justeru, sebagai salah seorang umat baginda S.A.W. seharusnya kita sentiasa bertanya kepada diri kita sendiri, sudahkah kita berusaha untuk menjadi salah seorang daripada mereka yang dirindui oleh baginda S.A.W.? Apakah kita telah menyahut dan membalas kerinduan kekasih agung terhadap umatnya?

Hari ini, kita begitu ghairah dan bersungguh-sungguh dalam menyatakan kecintaan kita terhadap Allah dan Rasulnya. Namun, adakah kita sudah benar-benar membuktikan kecintaan kita terhadap keduanya. Ataupun ianya hanya sekadar kecintaan dibibir sahaja? Ya, cinta itu bukan sekadar kata-kata, bahkan cinta itu memerlukan pembuktian melalui amalan. Dan cinta itu juga akan berputik bila kita telah benar-benar mengenali baginda.

Tidak mahukah kita menjadi orang yang dirindui oleh Rasulullah S.A.W.? Umat yang sentiasa difikirkan oleh baginda? Ya, mereka yang amat mencintai baginda walaupun belum pernah bertemu dengan baginda. Mereka yang pantas bangkit mempertahankan baginda tatkala musuh cuba untuk memperolokkan baginda. Mereka yang teguh dalam mengamalkan sunnah-sunnah baginda S.A.W. tatkala kebanyakan manusia sudah mula berasa pelik akan sunnah yang diamalkan. Tetap teguh walaupun mereka digambarkan seolah-olah sedang menggenggam bara api. Mereka inilah yang benar-benar membuktikan kecintaan terhadap baginda, dan mereka inilah yang berhak untuk meraih kerinduan daripada Kekasih Agung S.A.W.. Adakah kita juga tergolong dari kalangan mereka?

Pada hari ini, kita melihat keadaan umat yang amat kucar kacir, penuh dengan penindasan, kezaliman, khianat dan macam-macam lagi krisis dan bencana lantaran jauhnya kita daripada panduan yang dibawa oleh baginda S.A.W.. Keimanan umat yang lemah lantas menjadikan umat Islam yang pada suatu ketika dahulu merupakan umat yang digeruni musuh, kini sebaliknya menjadi mangsa kerakusan nafsu serakah mereka. Justeru itu, betapa perlunya kita kembali kepada panduan yang ditinggalkan baginda untuk kita. Dua perkara yang barangsiapa berpegang teguh dengan keduanya, dijanjikan tidak akan pernah tersasar dari jalan yang benar, iaitu Al-Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W.. Perlunya untuk kita kembali menyemai cinta terhadap baginda S.A.W.. Ini adalah demi untuk mengembalikan kegemilangan umat Islam diakhir zaman ini. Mengembalikan dunia kepada satu suasana keamanan dan penuh dengan kasih sayang sesama makhluk dibawah naungan agama Allah s.w.t..

Ayuh, sempena bulan yang istimewa ini, sama-sama kita cuba untuk mengorak langkah, berusaha untuk mencapai kemulian yang telah disebutkan oleh baginda dahulu. Kemulian menjadi mereka yang amat dirindui oleh baginda S.A.W.. Mudah-mudahan, dengan kecintaan kita terhadap baginda S.A.W. kita akan dibangkitkan pada hari kiamat kelak bersama-sama baginda S.A.W. sepertimana maksud sabda baginda S.A.W.: "Seseorang itu akan dibangkitkan pada hari kiamat kelak dengan siapa yang dia cintai."

Dec 29, 2012

فاعتبروا يا أولي الأبصار


Baru-baru ini kita dikejutkan dengan satu berita kembalinya seorang kakitangan Educatian Malaysia Egypt ( EME ) kepangkuan Ilahi, iaitu Ustaz  Rosni Bin Ali, seorang staff yang sangat disenangi oleh seluruh warga Malaysia di bumi yang penuh barakah, Mesir ini. Seorang insan yang tidak sunyi daripada senyuman manis yang terukir dibibir, walau apa jua keadaan sewaktu berurusan dengan para pelajar.

Rentetan daripada berita yang sangat mengejutkan ini, kita melihat laman-laman sosial dipenuhi dengan status-status yang menzahirkan kesedihan dalam hati, serta persaksian yang baik terhadap almarhum, merasa selesa sepanjang berurusan dengannya. Selesa dengan keramahan almarhum, senyuman yang tidak pernah pudar dari wajahnya serta nasihat-nasihat yang selalu diberikan.

'sesungguhnya kita adalah milik Allah, dan kepadaNya kita kembali'

Mudah-mudahan dengan persaksian-persaksian yang baik terhadap Almarhum akan menempatkan Almarhum di dalam kenikmatan dan syurga Allah s.w.t. sepertimana yang telah disebutkan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadis baginda s.a.w. :
Daripada Anas rah., beliau berkata : satu jenazah telah diusung dan lalu di hadapan Rasulullah s.a.w., maka orang ramai yang berada di kawasan sekitar memuji kebaikan-kebaikan jenazah tersebut, maka Rasulullah s.a.w. pun bersabda : ( wajib untuknya. ). Kemudian satu lagi jenazah diusung dan lalu di hadapan Baginda s.a.w., maka orang ramai menyebut-nyebut mengenai keburukan dan kejahatan jenazah tersebut, maka Rasulullah s.a.w. pun bersabda : ( wajib keatasnya. ). Maka saidina Umar rah. bertanya kepada Baginda s.a.w. : apakah yang telah wajib? Maka Rasulullah s.a.w. bersabda : ( kamu memuji-muji kebaikan jenazah yang pertama, maka wajib baginya syurga, dan kamu menyebut-nyebut kejahatan jenazah yang kedua, maka wajib keatasnya neraka, kamu semua adalah saksi untuk Allah s.w.t di dunia. ). Hadis riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim.

Demikianlah kepulangan seorang lagi hamba Allah s.w.t. ke sisi Penciptanya, setelah memahat nama baik sepanjang berkhidmat memudahkan urusan para pelajar di bumi yang bertuah ini. Semoga Allah s.w.t. akan sentiasa merahmati roh Almarhum.

'Maka ambillah (kejadian itu) untuk menjadi pelajaran, hai orang-orang yang mempunyai wawasan.'

Kemudian pada setiap berita kematian itu, seharusnya mengingatkan kita semua tentang kematian kita sendiri. Apakah persedian yang telah kita bina sudah cukup sebelum tiba giliran kita pula dijemput oleh Malaikat Maut pada bila-bila masa sahaja. Adakah pemergian kita nanti akan diiringi dengan persaksian yang baik, seterusnya boleh membantu kita menempuh perjalanan selepas kematian, atau diiringi dengan persaksian yang buruk, seterusnya mengheret kita kepada azab yang pedih? Wal3iaazu billahi min zaalik..

Sama-sama kita mengambil iktibar dan pengajaran seterusnya berusaha mempersiapkan diri untuk bertemu dengan Allah s.w.t..

Apr 5, 2012

Dengan lafaz “ بسم الله الرحمن الرحيم “


Alhamdulillah, setelah sekian lama menghilang, akhirnya dilapangkan masa untuk mengemaskini laman perkongsian yang sekian lama ditinggalkan sepi.

Adapun perkara yang ingin dikongsikan dalam post kali ini ialah dua buah cerita yang amat menarik saya kira.

Kisah pertama adalah kisah yang pernah berlaku pada zaman pemerintahan Khalifah Muslimin yang kedua, saidina Umar Alkhattab radiallahu anhu. Kisah bermula apabila pada suatu hari Raja Kerajaan Rom pada masa tersebut mengalami sakit kepala yang teramat sakit. Beliau kemudiannya menghantar perutusan untuk bertemu dengan Amirul Mukminin, saidina Umar radiallahu anhu, dan meminta sesuatu yang boleh mengubati sakit yang beliau alami tersebut. Melihatkan permintaan tersebut, saidina Umar radiallahu anhu, lantas mengirimkan kepada raja Rom tersebut sebuah kopiah/songkok untuk dipakai oleh raja tersebut.

Apabila Raja tersebut memakai kopiah tersebut, maka sakit tersebut akan hilang dengan serta merta, dan apabila beliau menanggalkan kopiah tersebut, sakit tersebut akan menyerang kembali. Melihat keadaan tersebut membuatkan baginda berasa kagum, lantas memerintahkan agar kopiah tersebut diselidik dan diperiksa. Apabila selesai diperiksa kopiah tersebut, didapati di dalamnya terselit sehelai kertas yang bertulis lafaz “ بسم الله الرحمن الرحيم “. Melihat perkara tersebut baginda lantas berkata : “ Alangkah mulianya dan hebatnya Agama ini ( Islam ), hanya dengan sepotong ayat sahaja Allah subhaanahu wata’aala telah menyembuhkan beta.”. Lantas baginda pun memeluk Islam dan menjadi seorang raja yang soleh.

" Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih "

Kisah kedua pula adalah kisah mengenai seorang perempuan tua yang sentiasa melazimi untuk membaca “ بسم الله الرحمن الرحيم “ setiap kali ingin melakukan apa-apa pekerjaan. Namun begitu, perbuatan beliau tersebut tidak disukai oleh suaminya yang bolehlah dikatakan sebagai seorang yang fasik. Beliau juga sering kali mengejek perbuatan isterinya tersebut, dan pada suatu hari beliau bertekad untuk menguji dan membuktikan bahawa perbuata isterinya tersebut adalah suatu yang tidak mendatangkan apa-apa manfaat dan sia-sia.

Beliau telah memberikan kepada isterinya sejumlah wang yang sangat banyak dan mengarahkan isterinya untuk menyimpan duit tersebut. Isterinya patuh dengan arahan tersebut dan dengan lafaz “ بسم الله الرحمن الرحيم “ isterinya telah menyimpan duit tersebut, namun pada masa yang sama, tanpa disedari oleh perempuan tersebut, suaminya dalam diam telah melihat tempat simpanan tersebut, beliau kemudiannya, dalam diam  telah mengambil wang tersebut dan mencampakkannya di dalam perigi yang terdapat di belakang rumah mereka.

Pada keesokan harinya, si suami pun memanggil isterinya dan meminta agar membawakan wang yang telah diberinya. Isterinya yang tidak mengetahui apa yang telah berlaku melangkah ke tempat simpanan tersebut, dan dengan lafaz “بسم الله الرحمن الرحيم “, isterinya membuka tempat simpanan tersebut, dan pada ketika itulah Allah subhaanahu wata’aala menghantar malaikat Jibrail Alaihissalam untuk meletakkan semula wang tersebut di tempat simpanan tersebut.

Apabila melihat wang tersebut berada di tempat asalnya, suaminya berasa amat terperanjat dan insaf akan perbuatannya. Beliau akhirnya berubah dan mula melaksanakan perintah Agama, serta memulakan setiap perbuatannya dengan lafaz “بسم الله الرحمن الرحيم “.

Daripada dua kisah diatas, saya ingin timbulkan satu persoalan.
Kisah di atas menunjukkan berkatnya apabila sepotong ayat suci itu diamalkan dalam kehidupan harian kita, bagaimanakah pula sekiranya seluruh isi Al-quran itu diamalkan dalam kehidupan harian kita??

Malangnya  realiti hari ini, apabila kehidupan kebanyakan daripada manusia itu semakin jauh daripada kehidupan yang berlandaskan Islam itu sendiri. Gaya hidup masyarakat barat yang ternyata jauh tersasar dari landasan Islam itu pula yang diagung-agungkn, tidak kiralah dari aspek sosial, ekonomi, politik mahupun aspek-aspek lain kehidupan. Akhirnya, akibat ketaksuban terhadap gaya hidup barat ini, menatijahkan masyarakat yang porak-peranda, gejala sosial yang berleluasa, budaya hiburan melampau dan macam-macam lagi gejala-gejala buruk yang tersasar jauh dari gaya hidup yang sejahtera.
" A Muslim Doctor "

Keadaan masyarakat yang semakin parah pada hari ini semestinya perlu diubati segera, kerana masyarakat hari ini bukan sahaja perlukan rawatan jasmani, malah apa yang lebih penting ialah rawatan rohani. Dan untuk itu semestinya kita amat memerlukan ‘doktor-doktor’ yang berkemampuan untuk menyediakan perkhidmatan rawatan tersebut.

Agak-agaknya, siapakah yang bertanggungjawab untuk menggalas tugas tersebut??

Cukup setakat ini dahulu, semoga kita semua dapat mengambil manfaat daripada perkongsian kali ini.

“Sedari peranan, persiapkan diri”.