Jan 20, 2013

Rindu Kekasih


Bulan Rabi'ul Awwal, satu bulan yang telah mencatatkan satu peristiwa besar dalam sejarah ketamadunan umat manusia. Bulan yang dimuliakan dengan satu peristiwa agung. Sebuah peristiwa kelahiran yang diiringi dengan seribu satu keajaiban, menjadi titik permulaan nyalaan cahaya kebenaran, lantas memadamkan kegelapan jahiliah. Itulah peristiwa kelahiran Kekasih Agung, Nabi junjungan, Nabi Muhammad S.A.W.. Seorang nabi yang menjadi penutup segala nabi. Seorang rasul yang menjadi rahmat kepada sekalian alam. Seorang murabbi agung, memimpin manusia kembali kepada Sang Pencipta yang Haqq, menyingkap kebenaran setelah sekian lama diselimuti nista kekufuran.

Katakanlah ( wahai Muhammad ) : "Jika kamu ( benar-benar ) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah akan mencintaimu dan mengampun dosa-dosa kamu" - Ali 'Imran : ayat 31.

Sempena bulan yang cukup istimewa ini, saya ingin membawakan sebuah peristiwa yang sangat menyentuh hati. Peristiwa yang sangat ringkas namun mempunyai kesan yang sangat besar di dalam hati setiap orang beriman. Ianya terjadi lebih 1400 tahun yang lalu, bilamana suatu ketika baginda S.A.W. sedang duduk bersama-sama para sahabat baginda. Baginda yang tiba-tiba mendiamkan diri seperti ada sesuatu yang sedang bermain dalam fikiran, menimbulkan tanda tanya di kalangan para sahabat yang ada bersama-sama ketika itu. Setelah beberapa ketika, baginda pun memulakan bicara..

"Wahai sahabatku, tahukah kalian siapakah makhluk yang memiliki iman yang menakjubkan?"

Para sahabat yang ada pada ketika itu menjawab : "Para malaikat ya rasulallah".

Baginda S.A.W. tersenyum seraya berkata "Bagaimana para malaikat itu tidak beriman, sedangkan mereka itu sentiasa hampir kepada Allah s.w.t.. Akan tetapi bukan mereka yang aku maksudkan."

Para sahabat terdiam dan berfikir, kemudian mencuba semula untuk menjawab "Para nabi, ya rasulallah."

Baginda S.A.W. menjawab "Bagaimana para nabi itu tidak beriman, sedangkan wahyu itu diturunkan kepada mereka."

"Kalau begitu, mungkinkah kami ya rasulallah?"

Baginda S.A.W. menjawab "Bagaimana kalian tidak beriman, sedangkan aku berada diantara kalian semua."

Mendengar jawapan baginda S.A.W. para sahabat terdiam seketika dan kehairanan, lantas menjawab "Jikalau begitu, hanya Allah dan Rasulnya yang mengetahui."

Suasana menjadi sepi seketika, penuh keheningan. Selepas beberapa ketika, Rasulullah S.A.W. berbicara : "Ketahuilah wahai para sahabatku, mereka yang memiliki iman yang ajaib itu adalah mereka yang datang selepas kalian, mereka beriman kepada ku walaupun mereka belum pernah melihatku, mereka membaca dan mengamalkan isi Al-Quran, dan mereka sangat mencintaiku sedangkan mereka belum pernah bertemu denganku."

Baginda S.A.W. diam seketika, tunduk, dan dalam penuh kesayuan menyambung bicara "Saksikanlah wahai sahabatku, bahawa aku sangat merindui mereka."

Begitulah kerinduan dan kecintaan seorang insan yang paling mulia terhadap umatnya. Seorang nabi yang tidak pernah lelah dalam memikirkan umatnya. Hatta pada detik-detik baginda dijemput untuk kembali ke pangkuan Ilahi, masih risau memikirkan akan umatnya.

"Umatku..Umatku.."

اللهم صل وسلم وبارك على سيدنا ومولانا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين

Justeru, sebagai salah seorang umat baginda S.A.W. seharusnya kita sentiasa bertanya kepada diri kita sendiri, sudahkah kita berusaha untuk menjadi salah seorang daripada mereka yang dirindui oleh baginda S.A.W.? Apakah kita telah menyahut dan membalas kerinduan kekasih agung terhadap umatnya?

Hari ini, kita begitu ghairah dan bersungguh-sungguh dalam menyatakan kecintaan kita terhadap Allah dan Rasulnya. Namun, adakah kita sudah benar-benar membuktikan kecintaan kita terhadap keduanya. Ataupun ianya hanya sekadar kecintaan dibibir sahaja? Ya, cinta itu bukan sekadar kata-kata, bahkan cinta itu memerlukan pembuktian melalui amalan. Dan cinta itu juga akan berputik bila kita telah benar-benar mengenali baginda.

Tidak mahukah kita menjadi orang yang dirindui oleh Rasulullah S.A.W.? Umat yang sentiasa difikirkan oleh baginda? Ya, mereka yang amat mencintai baginda walaupun belum pernah bertemu dengan baginda. Mereka yang pantas bangkit mempertahankan baginda tatkala musuh cuba untuk memperolokkan baginda. Mereka yang teguh dalam mengamalkan sunnah-sunnah baginda S.A.W. tatkala kebanyakan manusia sudah mula berasa pelik akan sunnah yang diamalkan. Tetap teguh walaupun mereka digambarkan seolah-olah sedang menggenggam bara api. Mereka inilah yang benar-benar membuktikan kecintaan terhadap baginda, dan mereka inilah yang berhak untuk meraih kerinduan daripada Kekasih Agung S.A.W.. Adakah kita juga tergolong dari kalangan mereka?

Pada hari ini, kita melihat keadaan umat yang amat kucar kacir, penuh dengan penindasan, kezaliman, khianat dan macam-macam lagi krisis dan bencana lantaran jauhnya kita daripada panduan yang dibawa oleh baginda S.A.W.. Keimanan umat yang lemah lantas menjadikan umat Islam yang pada suatu ketika dahulu merupakan umat yang digeruni musuh, kini sebaliknya menjadi mangsa kerakusan nafsu serakah mereka. Justeru itu, betapa perlunya kita kembali kepada panduan yang ditinggalkan baginda untuk kita. Dua perkara yang barangsiapa berpegang teguh dengan keduanya, dijanjikan tidak akan pernah tersasar dari jalan yang benar, iaitu Al-Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W.. Perlunya untuk kita kembali menyemai cinta terhadap baginda S.A.W.. Ini adalah demi untuk mengembalikan kegemilangan umat Islam diakhir zaman ini. Mengembalikan dunia kepada satu suasana keamanan dan penuh dengan kasih sayang sesama makhluk dibawah naungan agama Allah s.w.t..

Ayuh, sempena bulan yang istimewa ini, sama-sama kita cuba untuk mengorak langkah, berusaha untuk mencapai kemulian yang telah disebutkan oleh baginda dahulu. Kemulian menjadi mereka yang amat dirindui oleh baginda S.A.W.. Mudah-mudahan, dengan kecintaan kita terhadap baginda S.A.W. kita akan dibangkitkan pada hari kiamat kelak bersama-sama baginda S.A.W. sepertimana maksud sabda baginda S.A.W.: "Seseorang itu akan dibangkitkan pada hari kiamat kelak dengan siapa yang dia cintai."

No comments:

Post a Comment