Jan 1, 2012

Exam Datang Lagi..

Peperiksaan, exam, imtihan, sering dikaitkan dengan stress, tekanan dan keletihan. Tekanan mengulangkaji pelajaran,tekanan menghadapi debaran hari pertarungan dan penat menelaah buku-buku yang terlalu banyak, merupakan beberapa sindrom dan kondisi lazim yang dihadapi oleh para mahasiswa menjelang hari peperiksaan, sehinggakan sampai ke satu tahap, ada pula buku yang hanya disedari kewujudannya apabila peperiksaan sudah mula mengintai dari luar jendela. Begitulah lumrahnya bagi kebanyakan pelajar dan mahasiswa. 

Pelbagai tanggapan dan pandangan yang dapat kita dengari mengenai peperiksaan dari mahasiswa itu sendiri, sebahagian daripada mereka  ada yang melihat bahawa peperiksaan itu adalah satu medan untuk menguji sejauh mana tahap penguasaan seseorang mahasiswa itu terhadap apa yang dipelajari selama ini. Ada pula yang beranggapan bahawa peperiksaan itu hanyalah satu halangan untuk meneruskan  peringkat  pengajian, tidak kurang pula yang memandang peperiksaan itu sebagai medan peperangan yang bersenjatakan alat-alat tulis menentang soalan-soalan yang dikemukakan dalam dewan peperiksaan. Pandangan dan  pendapat yang pelbagai ini sememangnya keluar dari corak pemikiran yang berbeza-beza.

Exam datang lagi!! Semoga berjaya!!
 
Mari mengubah sudut pandangan terhadap peperiksaan.

Pernahkah kita menganggap bahawa peperiksaan itu merupakan rahmat Allah s.w.t.??

Perkara yang paling penting sekali adalah apabila datangnya musim peperiksaan seharusnyalah ia membuatkan fitrah kehambaan kita akan semakin menebal, semakin menyedari akan keutamaan taufiq dan restu perkenan daripada Sang Pencipta. Di dalam fatrah inilah pelbagai persiapan, persediaan serta pengorbanan yang  dibuat untuk menghadapi peperiksaan. Maka dapat kita lihat ada sebilangan mahasiswa yang sanggup bersengkang mata berjaga malam untuk menelaah buku-buku pelajaran, masa-masa terluang dikurangkan demi untuk berdamping dengan buku-buku, waktu bersiar-siar, bermain bola, dan pelbagai aktiviti lain dimansuhkan daripada jadual harian dan digantikan dengan masa untuk berdamping dengan buku, semuanya dilakukan untuk membuat persediaan untuk menghadapi ujian ini.

Namun begitu, sekuat mana usaha kita, sebanyak mana pengorbanan kita, perlu kita sentiasa sedari bahawa, satu-satu matlamat itu tidak akan tercapai melainkan setelah mendapat perkenan dan izin daripada Allah S.W.T.. Maka atas dasar dan keyakinan inilah kita akan kembali kepada fitrah kehambaan yang lemah, tidak akan mampu mencapai dan melakukan sesuatu melainkan dengan izin dan perkenan daripadaNya.

Sabda Nabi s.a.w. :

“ Peliharalah Allah, kamu akan mendapati-Nya di hadapanmu. Apabila kamu meminta sesuatu, mintalah daripada Allah, dan apabila kamu memohon pertolongan maka pohonlah daripada-Nya, dan ketahuilah sesungguhnya jika seluruh umat berkumpul untuk memberi manfaat kepadamu dengan sesuatu, mereka tidak dapat memberi manfaat apa-apa pun melainkan apa yang telah ditetapkan oleh Allah untukmu, dan sekiranya mereka berkumpul untuk memudaratkanmu dengan sesuatu apa-apa pun, mereka tidak dapat memudaratkanmu melainkan dengan apa yang telah ditetapkan oleh Allah keatasmu…”

Dari hadis ini jelas menyatakan bahawa bagaimana pun usaha, sebanyak manapun kekuatan yang digunakan untuk mencapai satu-satu kehendak dan matlamat, ianya tidak akan berhasil melainkan dengan perkenan dan izin daripada Allah s.w.t.. Sedar akan hakikat ini, membawa kita kembali bergantung dan berharap kepada-Nya.

Lazimnya, di dalam fatrah inilah kita akan mula berlumba-lumba dalam mengerjakan amal kebaikan, solat tepat pada waktunya, banyak membaca al-quran, zikir, bersedekah, qiamullail, dan bermacam-macam lagi amal kebaikan. Semuanya ini dilakukan semata-mata untuk mendapatkan rahmat dan redha Allah s.w.t. agar dipermudahkan dalam menempuhi ujian ini.

Begitulah realitinya keadaan bagi kebanyakan mahasiswa pada zaman ini. Musim peperiksaan disinonimkan dengan musim menambah amal kebaikan dan lebih mendekatkan diri dengan amalan kerohanian. Namun, alangkah indahnya dan beruntunglah bagi mereka yang masih dapat mengekalkan amalan-amalan ini walaupun selepas berakhirnya musim peperiksaan. Hakikatnya, sebagai seorang hamba, semestinya kita sentiasa menjaga hubungan dengan Sang Pencipta, lantaran kebergantungan kita kepada-Nya bukanlah terbatas pada masa kita berada dalam kesusahan sahaja, bahkan juga sewaktu kita berada di dalam nikmat kelapangan dan kesenangan.
Jangan jadi 'Hamba Exam'!!

Seharusnya musim peperiksaan ini kita jadikan sebagai satu titik permulaan dalam usaha kita memperbaiki kehidupan seharian kita sebagai seorang muslim dan hamba kepada Allah s.w.t.. Manfaatkanlah musim peperiksaan ini sebagai satu dorongan untuk kita lebih mendekati Sang Pencipta. Jangan sampai kita diperhambakan oleh peperiksaan, melakukan segala-galanya hanya kerana sekeping kertas!!

*selamat menghadapi fatrah imtihan kepada semua sahabat seperjuangan. semoga kita semua dipermudahkan dalam menempuhi ujian ini..Allahu musta3aan..

1 comment:

  1. Salam mujahadah buat pejuang muda! Berusahalah untuk menjadi yang terbaik dan kekalkan prestasi yang terbaik. 'Kita mungkin tidak mampu menjadi ulama yang kaamil, tetapi kita mampu menjadi ulama yang mutakaamil'. Kata2 itu menjadi pegangan kita, menjadi sumber kekuatan azam kita. Dahuluilah usaha yang istiqamah sebelum kita bertawakal kpdNya. Semoga Allah swt memberikan kejayaan yang bermakna untuk kehidupan di dunia dan akhirat kelak. Salam sukses! =)

    ReplyDelete