Dec 5, 2011

Qiimatuzzamaan

Bersyukur, bersyukur dan terus bersyukur kepada Allah s.w.t. atas limpahan kasih sayang dan nikmat yang tidak terkira. Perhatikan saja pada diri kita, betapa ianya penuh dengan anugerah dan kurniaan dariNya. Akal, mata, hidung, mulut, telinga, dan sebagainya yang tidak dapat dihitung dan dikira. Firman Allah s.w.t. dalam surah An-Nahl ayat 18 yang bermaksud :

“Sekiranya kamu menghitung nikmat AllahS.W.T., nescaya kamu tidak akan mampu menghitungnya”

Memerhatikan kurnian dan anugerah Allah s.w.t. adalah satu perkara yang amat-amat dituntut, kerana dengannya dapat membawa kita mengenal Pencipta dan seterusnya menjadi hambaNya yang bersyukur.

Dalam kita memerhatikan nikmat-nikmat Allah s.w.t., harus kita sedari, terdapat nikmat-nikmat yang kita terlepas pandang, dan terleka daripada memanfaatkannya, nikmat ini telah disebutkan sendiri oleh Nabi s.a.w. dalam hadis baginda yang bermaksud :

“ Dua nikmat yang sering dizalimi oleh kebanyakan manusia : Kesihatan dan waktu lapang”
(hadis riwayat Attirmizi dalam kitab azzuhud)

‘Qiimatuzzaman’, Nilai Waktu!!..Menerusi kalam Nabi s.a.w. ini, dapat kita perhatikan kebenarannya apabila kita melihat budaya membuang masa itu semakin jelas dapat dilihat terutama sekali dikalangan remaja dan pemuda. Ramai dikalangan remaja itu lebih suka melakukan perkara yang sia-sia dan tidak mendatangkan apa-apa manfaat kepada diri sendiri mahupun orang sekeliling. Budaya melepak, hiburan yang melampau, berjalan-jalan tanpa arah tujuan, menghabiskan masa berjam-jam untuk permainan video merupakan contoh-contoh aktiviti-aktiviti yang sia-sia dan tidak mendatangkan manfaat.

Sedar ataupun tidak, hakikatnya, nikmat masa lapang yang Allah s.w.t. kurniakan kepada kita itu mempunyai nilai yang amat tinggi. Penting dan tingginya nilai masa itu sehinggakan di dalam Al-Quran terdapat satu surah yang dinamakan dengan surah Al-Asr ( masa ). Dalam surah ini, kita dapat melihat betapa tingginya nilai masa apabila pada permulaan surah ini terdapat sumpahan dengan masa, dan kita tahu bahawa setiap sesuatu yang digunakan untuk bersumpah itu mempunyai nilai yang sangat tinggi.

Dalam surah tersebut, Allah s.w.t. menerangkan bahawa setiap manusia itu berada dalam kerugian, melainkan mereka yang beriman dan beramal soleh, serta berpesan-pesan dengan kebenaran serta kesabaran. Dan termasuk dalam maksud beramal soleh itu ialah melakukan perkara-perkara yang bermanfaat dan meninggalkan perkara yang sia-sia, dan daripada sifat-sifat seorang muslim yang baik itu ialah meninggalkan perkara yang sia-sia. Nabi s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud :

“ Daripada keelokan Islam seseorang itu ialah meninggalkan apa yang tidak bermakna”
(hadis riwayat Attirmizi dalam kitab azzuhud)

"masa itu emas"

Nikmat masa yang dikurniakan kepada kita ini haruslah kita manfaatkan dengan sebaiknya, agar kita tidak tergolong dalam kalangan orang-orang yang kerugian. Sikap suka bertangguh juga harus dijauhkan dari diri agar tanggungjawab yang sedia dapat dilaksanakan dengan lancar dan menepati masa. Sahabat Nabi s.a.w., Abdullah Bin Umar r.h. telah berkata :

“ Sekiranya engkau berada di waktu petang, janganlah engkau menanti (untuk melaksanakan pekerjaanmu) sehingga tibanya waktu pagi, dan sekiranya engkau berada di waktu pagi, janganlah engkau menanti (untuk melaksanakan pekerjaanmu) sehingga tibanya waktu petang,ambillah bekalan di waktu sihatmu sebelum sakit, dan di waktu hidupmu sebelum mati”

Seharusnya masa yang kita ada ini kita gunakan sebaiknya dengan melakukan perkara-perkara yang berfaedah, dan sesungguhnya setiap masa yang kita lewati ini akan datang pada hari akhirat nanti sebagai saksi terhadap amalan kita di dunia ini. Dinukilkan daripada kata-kata Imam Hasan Basri :

“Tidaklah pada satu-satu hari itu, apabila terbit fajar, melainkan akan ada seruan daripada seruan yang benar : "wahai anak adam, aku adalah makhluk yang baru, dan akan menjadi saksi terhadap amalanmu,maka ambillah bekalan daripadaku dengan amalan soleh, sesungguhnya aku tidak akan kembali lagi sehingga hari kiamat".”

Oleh itu,semestinya masa-masa yang terluang ini kita isikan dengan aktiviti-aktiviti yang boleh mendatangkan faedah kepada diri dan masyarakat sekeliling, aktiviti-aktiviti prntarbiyyahan diri itu perlu dititik beratkan, aktiviti-aktiviti di masjid, seperti membaca al-Quran, kelas-kelas agama, majlis-majlis zikir, dan macam-macam lagi aktiviti yang boleh mendekatkan diri dengan Allah s.w.t.. Selain itu, aktiviti-aktiviti kemasyarakatan juga perlu diambil penting, kerana lumrah kehidupan manusia itu perlu hidup bermasyarakat. Amalan bergotong-royong, bantu-membantu antara satu sama lain dan selainnya perlu diadakan secara kerap agar dapat lebih mengeratkan ikatan persaudaraan sesama masyarakat. Selain itu, keterlibatan seseorang itu, lebih-lebih lagi seorang mahasiswa/wi dengan persatuan juga amat penting, kerana ianya dapat membantu dalam persedian kita untuk hidup berorganisasi serta latihan untuk berhadapan dengan masyarakat.

Aktiviti-aktiviti merehatkan minda dan riadah juga tidak boleh diketepikan, kerana ianya akan membantu dalam menyediakan akal yang cerdas sertas badan yang sihat, dan sesungguhnya seorang mukmin yang sihat dan kuat itu lebih baik daripada seorang mukmin yang lemah. Namun begitu, aktiviti riadah yang dilakukan juga janganlah aktiviti yang boleh mendatangkan mudarat kepada diri sendiri, kerana dengan itu, tujuan utama untuk riadah itu akan hilang. Dalam Islam sendiri, antara aktiviti riadah yang sangat dianjurkan ialah aktiviti menunggang kuda dan memanah, namun mengikut peredaran zaman yang smakin pesat ini, riadah yang lain juga boleh dikiaskan seperti berbasikal dan sukan menembak.

Seharusnya nikmat masa lapang yang dikurniakan kepada kita ini kita gunakan dengan sebaiknya, agar ianya tidak berlalu dengan sia-sia. Akhir sekali, renungi kata-kata yang berikut :
1- “ Dirimu, sekiranya engkau tidak sibukkan dengan perkara-perkara yang baik, ianya akan menyibukkan mu dengan perkara-perkara kebatilan dan sia-sia” – kata hikmah.
2- “ Sesungguhnya kerja itu lagi banyak daripada masa” - Imam Hasan Al-Banna.
3- “ Perancangan masa bukan hanya untuk menentukan apa yang hendak dilakukan pasa masa hadapan, tetapi adalah untuk menentukan apa yang perlu dilakukan agar mempunyai masa hadapan “ – Anonim.

No comments:

Post a Comment