Dec 12, 2011

Brings Victory Into Yourself


Di dalam menjalani kehidupan kita sehari-hari, ada sahaja tugasan, taklifan, jawatan yang diamanahkan di bahu kita. Tatkala diri merasa sungguh kerdil dan tidak mempunyai kekuatan tersebut, lantas semua itu hanya membuatkan kita merasa lemah,putus asa dan segalanya seakan mustahil untuk dilakukan!

‘ Aku tiada keyakinan itu! Semuanya kelihatan susah dan mustahil untuk direalisasikan. Apa pula kata mereka nanti? Kelak, mereka pasti akan mentertawakan aku’

Stop it..!!

You can do it, Bro! Nothing is impossible.
Sesuatu yang pasti, setiap manusia itu mempunyai keinginan dan cita-cita yang tinggi menggunung. Mungkin setinggi Gunung Kinabalu , Gunung Himalaya mahupun Gunung Everest. Tetapi,  cita-cita dan keinginan itu selalu sahaja  terbunuh akibat keyakinan diri yang rendah terhadap keupayaan diri sendiri. Mungkin juga kerana kita terlalu memandang tinggi akan cabaran dan dugaan yang wujud dalam usaha merealisasikan impian tersebut.

“ Faith is the first factor in a life devoted to service.Without it , nothing is possible.With it,nothing is impossible ” - Martin Luther

Ya!  Yakin pada diri sendiri itu perlu!
Sebenarnya, untuk mencapai satu-satu matlamat dan cita-cita,tidak pernah ada halangan yang boleh menghapuskan terus harapan kita untuk mencapai apa yang kita impikan. ’There is no obstacle can stop your dream come true!’

‘Benarkah..?’

Ya..! Kerana yang ada sebenarnya hanyalah cabaran, rintangan,dugaan dan mehnah. Dan semua itu pasti akan dapat di atasi untuk kita terus berlari mengejar impian kita.

Kalau begitu, kenapa agaknya masih ramai orang yang tidak berjaya?’

Opss..pembetulan!
Mereka sebenarnya  bukan ‘tidak berjaya’ , tetapi  ‘belum berjaya’ . Dan sedarilah bahawa hakikatnya, disebalik kejayaan seseorang itu,dia pernah menempuhi  1001 kegagalan.
Hukama’ pernah berkata..’Orang yang berjaya bukanlah orang yang tidak pernah gagal, tetapi mereka ialah orang yang pernah gagal dan bangkit kembali.’ 

Tahukah anda, apakah sebenarnya cabaran dan dugaan yang  terbesar dalam usaha kita untuk mengejar impian?? Dan ketahuilah, sekiranya rintangan ini dapat kita atasi, InsyaAllah segala usaha yang kita taburkan akan mendapat hasil yang kita impikan.

‘Iaitu..?’

Negative thinking..! Ya..fikiran negatif adalah cabaran yang terbesar perlu kita lepasi sebelum kita meneruskan perjuangan untuk  mengejar impian tanpa menoleh kebelakang lagi. Apabila kita dapat mengalahkan pemikiran negatif yang bersarang di minda kita, lantas semua cabaran dan rintangan yang lain akan dapat di tempuhi dengan jayanya.
Menurut pakar motivasi, otak kita terdiri daripada 30% fikiran positif dan 70% fikiran negatif. Jadi, sekiranya kita dapat menggunakan 30% fikiran positif tadi untuk mengalahkan 70% fikiran negatif di dalam otak kita, maknanya kita sudah pun mencapai satu kejayaan awal, sebelum kita bergerak untuk mencapai kejayaan-kejayaan yang seterusnya..!

Tukarlah persepsi kita terhadap diri kita sendiri!

‘Aku boleh!’
Ya, kita pasti boleh selagi mana kita yakin kita dapat melakukannya!  Kenapa pula kita harus membunuh dan menghancurkan impian kita hanya kerana wujudnya persepsi buruk terhadap diri sendiri??

‘ Mempercayai diri sendiri adalah RAHSIA PERTAMA untuk berjaya..’ – Ralph Wardo Emerson.

Yakinlah pada keupayaan diri kita dan mulalah bergerak mengejar impian dan matlamat itu! Percayalah setiap cabaran dan dugaan itu pasti dapat ditempuhi juga kelak.
Langkah ini mesti diteruskan dan jangan biar ianya terhenti oleh cabaran yang datang menguji.

Jadilah seperti air yang terus menerus mengalir. Dihalang dari hadapan akan mula mengalir ke kanan. Dihalang dari kanan mengalir pula ke kiri. Dan jika dihalang dari segenap penjuru tentunya ia akan merempuh halangan tersebut untuk terus mengalir hingga sampai ke destinasi yang dituju!

Believe in yourself!! Mulalah merancang kejayaan anda dari sekarang.
Keyakinan, keazaman, usaha yang gigih serta strategi yang baik pasti akan membuahkan kejayaan yang cemerlang.

Lakukanlah yang terbaik..!

Dec 7, 2011

Siswa & Nikmat Ilmu


Sejak hari pertama kita dilahirkan sehinggalah ke saat ini, begitu banyak nikmat yang Allah kurniakan kepada kita yang tidak terhitung nilainya. Bayangkan saja nikmat udara yang diberikan kepada umat manusia , jika ingin dihitung kadar penggunaannya, sudah tentu kita tidak akan mampu untuk membayarnya.

Firman Allah S.W.T. dalam surah An-Nahl ayat 18 yang bermaksud :

“Sekiranya kamu menghitung nikmat AllahS.W.T., nescaya kamu tidak akan mampu menghitungnya”

Nikmat yang begitu asas ini terus saja dikurniakan kepada manusia tanpa mengira samada manusia itu mensyukurinya ataupun tidak.  Begitu juga  dengan nikmat-nikmat yang lain. Lihat saja pada diri kita sendiri, seribu satu nikmat telah Allah berikan kepada kita yang mana mungkin tidak kita sedari. Mata, telinga, hidung, mulut, kaki dan sebagainya merupakan nikmat yang amat berharga buat insan bernama manusia. Dan mengaku atau tidak, sebenarnya nikmat-nikmat ini dikurniakan kepada kita secara berterusan tidak kira samada kita mensyukurinya ataupun tidak, dan kebanyakan nikmat ini  tidak kita sedari kepentingannya, sehinggalah kita kehilangannya.

Di kalangan manusia itu pula, Allah swt telah memilih segolongan manusia untuk dikurniakan pula nikmat yang sangat besar, iaitu nikmat Iman dan Islam. Dengan kedua nikmat inilah yang mampu mengeluarkan manusia dari kegelapan kepada cahaya, dari kesesatan kepada kebenaran, dan membawa manusia untuk kembali mengenal Pencipta yang sebenar iaitu Allah swt.  Sesungguhnya dengan nikmat inilah yang akan dapat menyelamatkan kehidupan manusia di  dunia dan akhirat.

Selaku insan yang terpilih untuk merasai nikmat ini, seharusnya kita mensyukurinya dan berusaha menjaganya agar kita sentiasa berada dalam golongan orang yang sentiasa mendapat rahmat Allah s.w.t..

" kejar cita-cita mu hingga ke hujung dunia"
Sebagai mahasiswa/wi muslim, secara sedar atau tidak, sebenarnya kita juga telah dikurniakan dengan satu lagi nikmat cukup berharga, iaitu apabila kita telah dipilih untuk berada di jalan ilmu ini. Inilah merupakan salah satu jalan yang mana telah dijanjikan bagi orang yang melaluinya akan dipermudahkan jalan menuju ke syurga. Sabda Nabi S.A.W. yang bermaksud :
               
“ Sesiapa yang melalui satu jalan untuk mencari ilmu, Allah S.W.T. akan menunjukkan baginya satu jalan daripada jalan-jalan menuju ke syurga”.

Ilmu pengetahuan merupakan suatu yang sangat penting dalam kehidupan kita kerana ianya merupakan wasilah utama untuk mencapai kejayaan di dunia dan akhirat. Nabi S.A.W. telah menerangkan bahawa sesiapa yang ingin mendapat kejayaan di dunia maka hendaklah dia mencapainya dengan ilmu pengetahuan, begitu juga bagi yang inginkan kejayaan di akhirat maka hendaklah dengan ilmu pengetahuan, dan sesiapa yang mahukan kejayaan di dunia dan akhirat maka hendaklah dengan ilmu pengetahuan.

Kita telah ditinggalkan dengan begitu banyak ayat-ayat Al-Quran dan hadis-hadis Nabi S.A.W. yang menyebut  tentang kelebihan orang berilmu. Antaranya ialah firman Allah S.W.T. dalam surah Al-Mujadilah, ayat 11 :

{يرفع الله الذين ءامنوا منكم والذين أوتوا العلم درجات}
Maksudnya : “ Allah S.W.T. meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat.”


Firman Allah S.W.T. dalam surah Az-Zumar ayat 9 :

{قل هل يستوي الذين يعلمون والذين لا يعلمون}
Maksudnya : “ Katakanlah (wahai Muhammad) : Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui.”

Sabda Nabi S.A.W. pula yang bermaksud :

“ Seorang alim(orang berilmu) lebih ditakuti oleh syaitan daripada seribu orang abid”

Begitulah sebahagian ayat-ayat Al-Quran dan hadis Nabi S.A.W. yang menerangkan tentang kelebihan yang diberikan kepada orang-orang berilmu.

Namun, persoalan yang ingin dilontarkan di sini ialah, sejauh mana kita sebagai mahasiswa/wi yang telah dikurniakan nikmat berada di jalan ilmu ini mensyukuri nikmat tersebut?

"ilmu pelita hidup"

Seharusnya nikmat yang telah diberikan ini tidak disia-siakan, dan ianya haruslah dimanfaatkan sebaiknya, kerana antara salah satu cara untuk kita mensyukuri nikmat Allah S.W.t. itu adalah dengan menggunakan nikmat tersebut dengan sebaiknya. Oleh itu, seharusnya kita selaku mahasiswa/wi  menggunakan peluang ini untuk menimba ilmu sebanyak yang mungkin dengan bersungguh-sungguh. Gunakanlah peluang yang terbentang sekarang ini sebelum ianya berlalu pergi dan mula bertapak  seribu sesalan di hati kita.

Bayangkanlah, betapa ramainya orang yang merindui medan ilmu ini, namun belum diberikan peluang untuk menemuinya. Maka adalah suatu yang tidak sepatutnya tatkala kita yang telah diberikan peluang ini hanya mensia-siakannya. Allah S.W.T. mengancam dengan azab yang pedih bagi mereka yang tidak mensyukuri nikmatNya dengan firman Allah dalam surah Ibrahim ayat 7 :

{وإذ تأذن ربكم لئن شكرتم لأزيدنكم ولئن كفرتم إن عذابي لشديد}
Maksudnya : “ dan ingatlah tatkala Tuhanmu memaklumkan : Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti kami akan menambah(nikmat) kepada kamu, dan jika kamu mengingkari(nikmat), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.”

Satu ketika kelak, nikmat masa yang telah diberikan untuk menuntut ilmu ini pasti akan dipersoalkan di hadapan Allah S.W.T. kerana setiap nikmat yang dikurniakan itu pasti akan diperhitungkan semula. Adakah kita telah mensyukurinya ataupun tidak?  Nabi S.A.W. bersabda yang bermaksud :

  Tidak akan berganjak kedua kaki anak Adam (dari tempat penghisaban) sehinggalah dia ditanya tentang empat perkara.Tentang umurnya, kemana telah dia habiskan, tentang masa mudanya pada apa telah dia kerjakan, tentang hartanya dari mana dia memperolehinya dan pada apa dia membelanjakannya, dan tentang ilmunya, apa yang telah dia amalkan. “

Dalam hadis ini, Nabi S.A.W. menjelaskan tentang empat perkara  yang akan dipersoalkan pada hari akhirat nanti. Apa yang cuba dijelaskan disini adalah, dua perkara yang pertama yang akan dipersoalkan adalah mengenai umur dan masa muda, dan kedua-duanya adalah berkaitan dengan masa. Dan nikmat masa muda yang ada pada kita sekarang ini serta peluang berada di jalan ilmu ini sudah pasti akan dihitung, dan adakah kita sanggup untuk menjawabnya dengan mengatakan kita telah mensia-siakannya??

Oleh itu, kita selaku mahasiswa/wi yang telah dikurniakan dengan nikmat yang cukup besar ini seharusnya menghargai dan mensyukurinya dengan sebaik mungkin. Jadikan fatrah imtihan ini sebagai batu loncatan untuk kita mula melakukan perubahan dalam kehidupan kita selaku siswa –siswi kearah yang lebih baik dari sebelum ini. Keadaan diri kita tidak akan berubah dengan sendirinya melainkan dengan usaha dari diri kita juga.

Ayuh kita renungi  kata-kata daripada beberapa orang pakar motivasi berikut :

“ Penambahbaikan memerlukan prasyarat perubahan” – Prof. Madya Hj. Md. Izuddin Hj. Ali.

‘’ Jika anda hendak mengubah tindakan anda, anda perlu mengubah cara anda berfikir” - Joel Barker.

‘’ Janganlah menunggu saat akhir untuk mencipta kejayaan” – Hukama.

Oleh itu, marilah sama-sama kita melakukan perubahan dalam kehidupan kita kearah yang lebih baik, agar satu hari kelak kita akan memperolehi kejayaan yang cemerlang di dunia dan akhirat. Usahlah kita mengharapkan sesuatu hasil yang berbeza sekiranya usaha yang kita lakukan itu tetap sama seperti sebelum-sebelum ini. Dan ingatlah, jika lalang yang kita tanam, janganlah pula  mengharapkan ianya akan tumbuh sebagai padi.

Dec 5, 2011

Qiimatuzzamaan

Bersyukur, bersyukur dan terus bersyukur kepada Allah s.w.t. atas limpahan kasih sayang dan nikmat yang tidak terkira. Perhatikan saja pada diri kita, betapa ianya penuh dengan anugerah dan kurniaan dariNya. Akal, mata, hidung, mulut, telinga, dan sebagainya yang tidak dapat dihitung dan dikira. Firman Allah s.w.t. dalam surah An-Nahl ayat 18 yang bermaksud :

“Sekiranya kamu menghitung nikmat AllahS.W.T., nescaya kamu tidak akan mampu menghitungnya”

Memerhatikan kurnian dan anugerah Allah s.w.t. adalah satu perkara yang amat-amat dituntut, kerana dengannya dapat membawa kita mengenal Pencipta dan seterusnya menjadi hambaNya yang bersyukur.

Dalam kita memerhatikan nikmat-nikmat Allah s.w.t., harus kita sedari, terdapat nikmat-nikmat yang kita terlepas pandang, dan terleka daripada memanfaatkannya, nikmat ini telah disebutkan sendiri oleh Nabi s.a.w. dalam hadis baginda yang bermaksud :

“ Dua nikmat yang sering dizalimi oleh kebanyakan manusia : Kesihatan dan waktu lapang”
(hadis riwayat Attirmizi dalam kitab azzuhud)

‘Qiimatuzzaman’, Nilai Waktu!!..Menerusi kalam Nabi s.a.w. ini, dapat kita perhatikan kebenarannya apabila kita melihat budaya membuang masa itu semakin jelas dapat dilihat terutama sekali dikalangan remaja dan pemuda. Ramai dikalangan remaja itu lebih suka melakukan perkara yang sia-sia dan tidak mendatangkan apa-apa manfaat kepada diri sendiri mahupun orang sekeliling. Budaya melepak, hiburan yang melampau, berjalan-jalan tanpa arah tujuan, menghabiskan masa berjam-jam untuk permainan video merupakan contoh-contoh aktiviti-aktiviti yang sia-sia dan tidak mendatangkan manfaat.

Sedar ataupun tidak, hakikatnya, nikmat masa lapang yang Allah s.w.t. kurniakan kepada kita itu mempunyai nilai yang amat tinggi. Penting dan tingginya nilai masa itu sehinggakan di dalam Al-Quran terdapat satu surah yang dinamakan dengan surah Al-Asr ( masa ). Dalam surah ini, kita dapat melihat betapa tingginya nilai masa apabila pada permulaan surah ini terdapat sumpahan dengan masa, dan kita tahu bahawa setiap sesuatu yang digunakan untuk bersumpah itu mempunyai nilai yang sangat tinggi.

Dalam surah tersebut, Allah s.w.t. menerangkan bahawa setiap manusia itu berada dalam kerugian, melainkan mereka yang beriman dan beramal soleh, serta berpesan-pesan dengan kebenaran serta kesabaran. Dan termasuk dalam maksud beramal soleh itu ialah melakukan perkara-perkara yang bermanfaat dan meninggalkan perkara yang sia-sia, dan daripada sifat-sifat seorang muslim yang baik itu ialah meninggalkan perkara yang sia-sia. Nabi s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud :

“ Daripada keelokan Islam seseorang itu ialah meninggalkan apa yang tidak bermakna”
(hadis riwayat Attirmizi dalam kitab azzuhud)

"masa itu emas"

Nikmat masa yang dikurniakan kepada kita ini haruslah kita manfaatkan dengan sebaiknya, agar kita tidak tergolong dalam kalangan orang-orang yang kerugian. Sikap suka bertangguh juga harus dijauhkan dari diri agar tanggungjawab yang sedia dapat dilaksanakan dengan lancar dan menepati masa. Sahabat Nabi s.a.w., Abdullah Bin Umar r.h. telah berkata :

“ Sekiranya engkau berada di waktu petang, janganlah engkau menanti (untuk melaksanakan pekerjaanmu) sehingga tibanya waktu pagi, dan sekiranya engkau berada di waktu pagi, janganlah engkau menanti (untuk melaksanakan pekerjaanmu) sehingga tibanya waktu petang,ambillah bekalan di waktu sihatmu sebelum sakit, dan di waktu hidupmu sebelum mati”

Seharusnya masa yang kita ada ini kita gunakan sebaiknya dengan melakukan perkara-perkara yang berfaedah, dan sesungguhnya setiap masa yang kita lewati ini akan datang pada hari akhirat nanti sebagai saksi terhadap amalan kita di dunia ini. Dinukilkan daripada kata-kata Imam Hasan Basri :

“Tidaklah pada satu-satu hari itu, apabila terbit fajar, melainkan akan ada seruan daripada seruan yang benar : "wahai anak adam, aku adalah makhluk yang baru, dan akan menjadi saksi terhadap amalanmu,maka ambillah bekalan daripadaku dengan amalan soleh, sesungguhnya aku tidak akan kembali lagi sehingga hari kiamat".”

Oleh itu,semestinya masa-masa yang terluang ini kita isikan dengan aktiviti-aktiviti yang boleh mendatangkan faedah kepada diri dan masyarakat sekeliling, aktiviti-aktiviti prntarbiyyahan diri itu perlu dititik beratkan, aktiviti-aktiviti di masjid, seperti membaca al-Quran, kelas-kelas agama, majlis-majlis zikir, dan macam-macam lagi aktiviti yang boleh mendekatkan diri dengan Allah s.w.t.. Selain itu, aktiviti-aktiviti kemasyarakatan juga perlu diambil penting, kerana lumrah kehidupan manusia itu perlu hidup bermasyarakat. Amalan bergotong-royong, bantu-membantu antara satu sama lain dan selainnya perlu diadakan secara kerap agar dapat lebih mengeratkan ikatan persaudaraan sesama masyarakat. Selain itu, keterlibatan seseorang itu, lebih-lebih lagi seorang mahasiswa/wi dengan persatuan juga amat penting, kerana ianya dapat membantu dalam persedian kita untuk hidup berorganisasi serta latihan untuk berhadapan dengan masyarakat.

Aktiviti-aktiviti merehatkan minda dan riadah juga tidak boleh diketepikan, kerana ianya akan membantu dalam menyediakan akal yang cerdas sertas badan yang sihat, dan sesungguhnya seorang mukmin yang sihat dan kuat itu lebih baik daripada seorang mukmin yang lemah. Namun begitu, aktiviti riadah yang dilakukan juga janganlah aktiviti yang boleh mendatangkan mudarat kepada diri sendiri, kerana dengan itu, tujuan utama untuk riadah itu akan hilang. Dalam Islam sendiri, antara aktiviti riadah yang sangat dianjurkan ialah aktiviti menunggang kuda dan memanah, namun mengikut peredaran zaman yang smakin pesat ini, riadah yang lain juga boleh dikiaskan seperti berbasikal dan sukan menembak.

Seharusnya nikmat masa lapang yang dikurniakan kepada kita ini kita gunakan dengan sebaiknya, agar ianya tidak berlalu dengan sia-sia. Akhir sekali, renungi kata-kata yang berikut :
1- “ Dirimu, sekiranya engkau tidak sibukkan dengan perkara-perkara yang baik, ianya akan menyibukkan mu dengan perkara-perkara kebatilan dan sia-sia” – kata hikmah.
2- “ Sesungguhnya kerja itu lagi banyak daripada masa” - Imam Hasan Al-Banna.
3- “ Perancangan masa bukan hanya untuk menentukan apa yang hendak dilakukan pasa masa hadapan, tetapi adalah untuk menentukan apa yang perlu dilakukan agar mempunyai masa hadapan “ – Anonim.